Peristiwa traumatik memberikan satu set cabaran yang unik kepada para pembantu (seperti kaunselor, pekerja sosial, sukarelawan) untuk membuat pentaksiran. Hal ini disebabkan tempoh krisis adalah terhad iaitu krisis yang paling akut berterusan hanya beberapa hari sebelum beberapa perubahan yang lebih baik atau lebih buruk berlaku (Samsiah, 2008). Para pembantu memerlukan kaedah yang pantas dan efisien untuk memperoleh anggaran masa sebenar terhadap apa yang sedang berlaku kepada klien. Oleh itu, pentaksiran yang pantas dan memadai bagi klien dalam krisis adalah salah satu komponen yang paling kritikal dalam intervensi krisis.
Pentaksiran yang berterusan dan pantas tentang keadaan keseimbangan klien akan menentukan apa yang kaunselor akan lakukan dalam beberapa saat atau minit akan datang sebaik sahaja krisis terungkai. Selain pantas dan efisien, instrumen pentaksiran tersebut juga seharusnya mudah ditadbirkan dalam kalangan para pembantu yang mungkin hanya mempunyai kemahiran asas menaksir dengan cara yang boleh dipercayai dan sah. Sistem pentaksiran Triage (Myer, R.A., Williams, R. C., Otten, A. J., & Schmidt, A. E., 1991) dilihat sebagai memenuhi lima kriteria komposit di atas iaitu kepantasan, mudah, efisien, kebolehpercayaan dan kesahan. Myer, Williams, Ottens & Schmidt (1991, 1992) telah menghasilkan satu instrumen pentaksiran krisis iaitu Triage Assessment Form (TAF), yang mempunyai potensi dalam melaksanakan pentaksiran yang pantas dan sah seseorang klien dalam krisis.
Sistem Pentaksiran Triage
Sistem Pentaksiran Triage (Triage Assessment System- TAS) (Myer, R.A., Williams, R. C., Otten, A. J., & Schmidt, A. E., 1991) mengandaikan reaksi individu semasa krisis adalah unik dan mengikut situasi. Para pembantu menaksir reaksi krisis berdasarkan tiga domain iaitu: afektif (perasaan), tingkah laku (tindakan) dan kognitif (pemikiran)
Skala domain afektif menentukan reaksi utama yang meliputi kemarahan / permusuhan, ketakutan / kebimbangan, kesedihan / kesayuan. Kriteria pentaksiran afektif memerihalkan tentang kestabilan atau ketidakstabilan mood, kekongruenan afek dalam situasi dan tahap usaha yang diperlukan untuk mengekalkan kawalan kemahuan afek (Samsiah & Mohammad Nasir, 2016).
Skala domain tingkah laku memaparkan tingkah laku dalam krisis yang boleh berlaku sebagai tingkah laku mendekati / menangani (approach / fight) iaitu mencari jalan penyelesaian, mengelak (avoidance / flight) iaitu percubaan melarikan diri dengan cara yang paling cepat) atau tidak mobil / lumpuh (immobility / freeze) iaitu terperangkap dalam kitaran masalah yang berterusan, tidak produktif (Samsiah et.al., 2015). Kriteria pentaksiran tingkah laku memerihalkan tentang tahap kerosakan / ketidakfungsian dalam prestasi kerja / aktiviti dalam kehidupan seharian, keberkesanan dan kesesuaian tingkah laku menangani dan potensi untuk membahayakan diri sendiri dan orang lain (Samsiah & Mohammad Nasir, 2016).
Skala domain kognitif menunjukkan reaksi kognitif yang merujuk kepada persepsi individu terhadap peristiwa (event). Dalam keadaan krisis, pemikiran individu mungkin seperti berlebih-lebihan atau melampau (exaggerate) atau memutarbelitkan reaksi emosi dan tingkah laku mereka. Individu mungkin mempersepsikan perlanggaran hak-hak mereka yang dicabuli (transgression - present), ancaman terhadap potensi bahaya (threat - future) atau mengalami sesuatu kehilangan yang tidak dapat diganti (loss - past). Tiga persepsi ini boleh berlaku dalam mana-mana domain kehidupan: fizikal (makanan, tempat tinggal dan keselamatan), psikologi (konsep kendiri, kestabilan emosi dan identiti), sosial (keluarga, kawan-kawan, rakan sekerja, sokongan komuniti), nilai dan kepercayaan (moral, spiritual, integriti) (Samsiah et. al., 2015). Pentaksiran kerosakan / ketidakfungsian kognitif melihat kepada keupayaan individu untuk fokus dan menumpukan perhatian, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Kehadiran kekeliruan, persepsi tidak sepadan dengan realiti, dan kawalan terhad ke atas pemikiran intrusif memberikan skor ketenatan yang lebih tinggi pada skala kognitif.
Untuk memperoleh pentaksiran triage, setiap respon dari domain afektif, tingkah laku, dan kognitif dinilai pada skala 1 hingga 10 menggunakan kriteria untuk menandakan peningkatan ketenatan sesuatu kerosakan / ketidakfungsian. Oleh itu, jumlah skor TAF merupakan jumlah skala kombinasi yang berkadaran antara 3 dan 30, di mana skor 3 menunjukkan tiada kerosakan / ketidakfungsian dan 30 menunjukkan kerosakan / ketidakfungsian paling tenat. Di penghujung pentaksiran ketenatan, aspek bahaya (lethality) kepada diri sendiri (klien) dan orang lain sangat signifikan yang perlu diketahui oleh para pembantu
Secara keseluruhannya, para pembantu diminta untuk mengenalpasti dan menerangkan setiap domain afek, tingkah laku dan kognitif dan menilai setiap domain pada skala ketenatan dari 1 hingga 10. Semasa menemuduga klien, pembantu diminta melihat skala dan mengira secara mental skor ketenatan dan mengenalpasti sasaran untuk intervensi (Samsiah, 2014, 2016). Skor digunakan untuk menentukan stail kaunseling/ temuduga seperti yang berikut:
Tidak direktif – kerosakan minimal iaitu skor 14 atau kurang
Kolaboratif – kerosakan sederhana hingga tinggi iaitu skor 15 hingga 20
Direktif – kerosakan yang tenat kepada tiada kawalan iaitu skor 20 awal hingga ke atas
(Rujuk kepada penilaian dan pemerhatian perubatan)
Selain ciri-cirinya yang pantas, efisien dan boleh dipercayai, TAF membolehkan pembantu membandingkan penilaian pra krisis dengan penilaian semasa klien untuk mengetahui tahap penyimpangan operasi afektif, tingkah laku dan kognitif klien dari yang biasa. Penilaian kefungsian prakrisis klien juga boleh membantu para pembantu untuk menentukan ketipikalan kefungsian terkini klien sama ada terdapat perubahan terkini yang radikal dan sama ada kefungsian tersebut adalah sementara (transitory) atau kronik (James & Gilliland, 2008). Sebagai contoh, pendekatan kaunseling yang berbeza digunakan kepada seorang skizofrenik yang kronik yang mengalami halusinasi auditori berbanding seorang individu yang mengalami halusinasi daripada preskripsi perubatan. Rajah 2.1 telah menyenaraikan sub domain yang ada di bawah setiap domain afektif, tingkah laku dan kognitif. Seterusnya, satu contoh kes krisis berserta aplikasi TAF ditampilkan untuk kefahaman yang lebih jelas tentang pentadbiran TAF.
Rajah 2.1: Domain dan sub domain afektif, tingkah laku dan kognitif TAF
Intervensi Krisis: Borang Pentaksiran Triage
Rumusan
TAS menampilkan sistem klasifikasi yang menyeluruh serta menitikberatkan keunikan pengalaman krisis setiap klien. TAF mensasarkan kefungsian bahagian yang spesifik dan membolehkan kaunselor menilai klien dengan pantas dan seterusnya memberi haluan kepada intervensi yang spesifik. Para kaunselor dan profesion menolong yang lain sangat digalakkan untuk menggunakan TAF sebagai alat pentaksiran krisis kerana ia telah terbukti sebagai instrumen yang pantas, efisien, mudah dipelajari dan sangat boleh dipercayai.
Seterusnya: