Sekiranya klien mengalami trauma apakah jenis rawatan yang kita pilih? Dan berdasarkan apakah rawatan tersebut dipilih? Kajian menunjukkan kita mempunyai pilihan kerana intervensi psikoteraputik untuk PTSD mempunyai sokongan empirikal yang signifikan. Kajian meta-analisis terhadap 26 kajian (1535 subjek) menggunakan pendekatan-pendekatan  psikoteraputik yang berbeza mendapati 4 daripada 5 (79 peratus) menghabiskan rawatan. Dua per tiga (67 peratus) daripada yang menghabiskan rawatan pula tidak lagi memenuhi kriteria PTSD. Dalam meta-analisis seterusnya terhadap 17 kajian (690 subjek), rawatan psikoteraputik didapati berkesan dengan pengurangan simptom yang signifikan (Sherman, 1998, in Knauss & Schofield, 2008).

 

Walau apa pun terapi yang dipilih, klien yang trauma mengalami stres yang tenat. Oleh itu, terapis atau kaunselor perlulah mempunyai kemahiran menyokong dan membina hubungan yang berkesan selain pengetahuan tentang metod rawatan yang sesuai dan berkesan. Hubungan teraputik yang solid dan ekspektasi klien yang positif terhadap rawatan berkait secara positif dengan hasil rawatan (Australian Centre for Posttraumatic Mental Health, 2013a).

Apabila seseorang kaunselor bekerja dengan klien (mangsa trauma), perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membina hubungan (kerjasama) teraputik yang dipercayai, memandangkan klien mungkin berasa sangat berat hati (reluctance) untuk membincangkan memori traumanya dan mungkin juga mempunyai pengalaman negatif dengan pembekal perkhidmatan yang lain. Kaunselor perlu mempamerkan penerimaan tanpa syarat dan empati kepada klien melalui mana-mana model rawatan yang akan dibincangkan.

Keberkesanan CBT

Setiap jenis terapi berfokuskan trauma telah menunjukkan kesan rawatan positif yang signifikan kepada golongan dewasa yang mengalami PTSD, dengan terapi tingkah laku yang menggabungkan pendedahan imaginasi dan in vivo begitu juga dengan penstrukturan semula kognitif yang sangat mendapat perhatian. Pelbagai ujian menunjukkan terapi berfokuskan trauma menghasilkan pengurangan dalam simptom PTSD berbanding kaunseling sokongan, dengan itu memberi bukti kukuh bahawa ia adalah intervensi yang agak kuat berbanding sokongan psikoterapi generik (Australian Centre for Posttraumatic Mental Health, 2013a)

Matlamat terapi berasaskan CBT

CBT membantu klien melemahkan hubungan antara pemikiran-pemikiran bermasalah dan situasi dan reaksi-reaksi kebiasaan klien. Terapi kognitif mengajar klien bagaimana pola-pola pemikiran tertentu mungkin menjadi sebab kepada kesukaran mereka dengan memberikan gambaran herotan atau menjadikan mereka bimbang, murung atau marah. Pengalaman traumatik selalunya menghalang proses-proses emosi kerana ia berkonflik dengan skema konseptual yang sedia ada. Percanggahan kognitif berlaku kerana klien tidak boleh mendamaikan pemikiran, memori dan imej trauma dengan struktur makna terkini dan ini menghasilkan stres yang tenat. Klien perlu memadankan maklumat baharu dengan model-model dalaman yang berdasarkan maklumat lama sehingga kedua-duanya sepadan, dalam dorongan psikologi untuk selesai.

Namun dalam fasa trauma akut, kesepadanan kognitif amatlah sukar kerana mangsa trauma biasanya tidak seimbang antara hyperarousal dan perencatan (inhibition). Percubaan untuk memahami dan mengintegrasi pengalaman traumatik, mangsa selalunya memainkan / mengingat semula peristiwa yang telah disimpan dalam memori aktif. Setiap ingatan semula memberikan tekanan kepada mangsa trauma dan ini  boleh menghalang proses-proses pemikiran dalam usaha mengawal atur pemprosesan aktif maklumat traumatik. Apabila perencatan ini diperhatikan, ia memperlihatkan seakan-akan klien telah ‘disengaged’ dari memproses memori traumatiknya.

Sesetengah klien atau mangsa trauma menunjukkan tingkah laku menarik balik( withdrawn) dan mengelak sehingga pemikiran traumatik tidak dapat lagi dihalang dan menceroboh / mengganggu (intrusive), diekspresikan sebagai simptom-simptom hyperarousal, imbasan kembali (flashback), dan mimpi ngeri (nightmares) apabila terjaga dari tidur. Hasil yang dapat diperhatikan ialah ayunan antara penafian (denial) / kekebasan (numbness) dan pencerobohan (intrusive) / rangsangan hiper (hyperarousal). Penyelesian psikologikal boleh dicapai apabila klien menilai semula dan menyemak semula skema kognitif yang sedia ada (sebelum ini) dan berusaha memegang titik ketegangan di antara keduanya (skema kognitif sedia ada dan terkini selepas mengalami pengalam trauma)

Teknik CBT yang digunakan dalam rawatan trauma memfokus kepada yang berikut:

  • Kemahiran belajar untuk mengendalikan kebimbangan (seperti latihan pernafasan atau biofeedback)
  • Menggunakan penstrukturan semula kognitif untuk mengubah pemikiran negatif
  • Menguruskan marah
  • Persediaan untuk reaksi stres (inokulasi stres)
  • Mengendalikan simptom-simptom trauma di masa hadapan
  • Pencegahan relaps dan isu-isu salah guna substan
  • Komunikasi dan berhubung secara efek dengan orang lain (kemahiran interpersonal)
  • Menangani herotan pemikiran yang selalu berlaku berikutan pendedahan kepada trauma
  • Latihan relaksasi dan imejan terbimbing (Dass-Brailsford, 2007)

 


Seterusnya:

TRAUMA FOCUSED-COGNITIVE BEHAVIOURAL THERAPY (TF-CBT)

DESENSITASI SISTEMATIK, TERAPI KOGNITIF, NET & SIT

 

Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)