Selain teknik-teknik di atas, teknik CBT lain yang boleh digunakan dalam kaunseling trauma termasuklah  desensitasi sistematik, terapi kognitif, terapi pendedahan naratif (narrative exposure therapy - NET) dan stress inoculation therapy (SIT),

Desensitasi Sistematik (Systematic desensitisation)

Pendekatan teraputik yang diasas oleh Wolpe (1958, in Dass-Brailsford, 2007) ini seuai bagi mereka yang memilih untuk mengimbas kembali atau mengingat semula memori trauma secara beransur-ansur berbanding secara keseluruhan dengan segera. Dalam sistematik desensitasi, klien disokong dengan teknik relaksasi otot dalaman dan pernafasan menggunakan diafragma, yang diajar sebelum rawatan dimulakan dan digunakan apabila kebimbangan klien meningkat. Perkara penting yang perlu ditetapkan di awal rawatan ialah mewujudkan hierarki terhadap rangsangan yang mendorong kepada ketakutan dan memperoleh kecekapan dalam menggunakan teknik-teknik relaksasi untuk mengatasi situasi-situasi (kebimbangan / ketakutan) dalam hierarki. Klien bermula dengan mengimbas kembali situasi atau aspek (dalam peristiwa traumatik) yang paling kurang menyakitkan. Sekiranya  klien menunjukkan reaksi yang negatif, terapis atau kaunselor akan menggunakan relaksasi. Klien dan terapis beransur-ansur kembali kepada hierarki dan beralih kepada rangsangan stres (lebih sedikit) seterusnya.  Melalui pendekatan  ini klien bekerja secara sistematik untuk mengatasi dan mengintegrasikan kebimbangan dan ketakutannya (Dass-Brailsford, 2007)

Terapi Kognitif

Keperluan kepada rawatan kemurungan dalam tahun 1970an telah membawa Aaron Beck memperkenalkan Terapi kognitif dan seterusnya muncul Albert Ellis dengan RET (kemudian dikenali sebagai REBT) dan beberapa terapi yang hampir sama pada ketika itu. Dalam merawat PTSD, terapi kognitif membantu klien mengenalpasti, mencabar, dan modifikasi mana-mana bias atau herotan pemikiran atau memori dari pengalaman traumatik, begitu juga dengan kepercayaan-kepercayaan maladaptif yang dimiliki oleh klien tentang dirinya dan dunianya (Australian Centre for Posttraumatic Mental Health, 2013a). Terapi kognitif tidak menekankan proses-proses pendedahan yang dilihat boleh membataskan keberkesanan rawatan dengan sesetengah populasi

 

Terapi Pendedahan Naratif (Narrative Exposure Therapy - NET)

Terapi pendedahan naratif diadaptasi dari pendekatan-pendekatan pendedahan aliran utama dan terapi testimoni digunakan pertama kali dengan mangsa penyiksaan dan peperangan. Terapi ini adalah seragam dan jangka pendek serta dibina untuk dua tujuan iaitu untuk merawat mangsa trauma dan mendokumentasi perlanggaran hak asasi manusia. Terapi ini meminta klien membina naratif kehidupannya dari tahun-tahun awal sehingga kini, memperincikan peristiwa-peristiwa traumatik dan menerangkan pemikiran dan emosi yang berkaitan. Terapi ini berfungsi dalam dua cara: (i) menggalakkan kebiasaan (habituation) kepada memori trauma melalui pendedahan dan (ii) membina semula memori autobiografi individu ((Australian Centre for Posttraumatic Mental Health, 2013a).

 

Terapi Inokulasi Stres (Stress Inoculation Therapy - SIT)

Terapi inokulasi stres dibina oleh Meichenbaum (1994) untuk klien-klien yang cemas dan bimbang. Terapi ini menggunakan rawatan pengurusan kebimbangan yang menggabungkan psiko pendidikan dan teknik-teknik membina kemahiran seperti relaksasi, ‘thought stopping’, latihan semula pernafasan, penyelesaian masalah, main peranan, ‘covert modelling’, dan dialog kendiri terbimbing, dan didapati berkesan untuk melegakan simptom-simptom kebimbangan, ketakutan dan kemurungan berkaitan dengan pengalaman traumatik. (Chard & Gilman, 2005). Terapi inokulasi stres menghasilkan keputusan yang menggalakkan apabila digunakan dengan mangsa rogol dalam kalangan wanita. Ia juga amat membantu klien PTSD berkaitan serangan fizikal dan kemalangan motor. 

 


Kesimpulannya, CBT adalah terapi yang paling banyak dikaji yang menunjukkan efikasi dalam rawatan PTSD. Sebagai Trauma-Focused Cognitive-Behavioral Therapy (TF-CBT), -keberkesanannya telah dilaporkan dalam beberapa ulasan dan meta-analisis (American Psychiatric Association, 2004; Australian Centre for Posttraumatic Mental Health, 2013a; Bisson & Andrew, 2007; Schnyder, 2005). Terapi berfokuskan trauma melibatkan penglibatan secara langsung dengan memori traumatik mangsa / klien.  Terapi CBT sering menggunakan psiko pendidikan dan  strategi pengurusan simptom adalah kerap dalam terapi CBT (terutamanya pengurangan rangsangan), namun masih terdapat  ‘variasi pada tema’  yang kebanyakannya dicirikan oleh penekanan yang berbeza terhadap pendedahan kepada memori trauma dan / atau penstrukturan semula kognitif. Kajian literatur oleh Australian Centre for Posttraumatic Mental Health telah mengenal pasti 29 kajian-kajian membandingkan TFCBT dengan ujian terkawal, dan seterusnya 38 kajian-kajian yang membandingkan TFCBT dengan rawatan atau intervensi lain. Enam kajian membandingkan EMDR dengan ujian terkawal dan seterusnya 9 kajian membandingkan EMDR dengan rawatan biasa atau  intervensi lain (Australian Centre for Posttraumatic Mental Health, 2013a).

 


Seterusnya:

iTF-CBT

TRAUMA FOCUSED-COGNITIVE BEHAVIOURAL THERAPY (TF-CBT)

 

Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)