Trauma adalah peristiwa yang menyedihkan di mana seseorang merasa sangat terancam secara emosi, psikologi, atau fizikal. Kebanyakan individu akan mengalami pengalaman traumatik sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Peristiwa traumatik ini boleh mengganggu kefungsian yang normal dan menyebabkan individu berkenaan menunjukkan tingkah laku penghindaran (avoidance). Keadaan ini berlaku tanpa mengira peringkat usia dan stres traumatik adalah kumulatif sepanjang kehidupan. Respon terhadap trauma termasuklah perasaan takut yang kuat, tidak berdaya dan menyeramkan atau mengerikan.

Trauma juga boleh dikaitkan dengan beberapa penyakit mental antaranya PTSD, kemurungan, kebimbangan dan skizofrenia. Kebanyakan individu akan pulih dari trauma melalui tempoh masa tertentu dan juga sokongan dari keluarga, rakan-rakan dan resilien kendiri. Namun bagi sesetengah individu, kesan trauma adalah berpanjangan dan menyebabkan PTSD, tekanan emosi yang keterlaluan, kemurungan atau kebimbangan. Namun, sokongan, bimbingan, dan bantuan seorang pakar adalah penting untuk penyembuhan daripada trauma. Oleh itu, kaunseling trauma diperlukan untuk memberikan sokongan serta memahami perasaan dan emosi klien / mangsa trauma semasa dan selepas pengalaman traumatik. Kaunselor trauma membantu klien memproses peristiwa traumatik yang dialami dan meningkatkan kemahiran daya tindak klien untuk mengatasi emosi-emosi negatif akibat peristiwa traumatik (Samsiah et al., 2015).

Garis Panduan Kaunselor Trauma dan Kesihatan Mental

  • Sentiasa bertenang dan berkeyakinan
  • Mendengar dengan aktif
  • Tunjukkan penerimaan dan tidak membuat penilaian
  • Tunjukkan empati dan refleksi perasaan
  • Berikan suasana yang relaks
  • Benarkan klien bercakap dengan bebas / minimumkan gangguan
  • Benarkan luahan perasaan
  • Fokus immediate crisis  berbanding penyebab krisis
  • Menaksir simptom yang dialami
  • Menaksir risiko bunuh diri dan tanya klien tentang perasaan bunuh diri
  • Jangan pandang / ambil ringan tentang krisis

Apakah yang perlu diketahui kaunselor tentang mangsa trauma (Apa yang diharapkan oleh klien / mangsa trauma)

  • Menghormati sempadan mereka (tidak dipaksa, rasa selamat dan dilindungi, tidak dipaksa / dicerobohi
  • Boleh menarik diri dari sesi jika mereka ingin berbuat demikian bila-bila masa
  • Tidak akan disentuh jika tidak mengingininya (terutama trauma berkaitan seksual)
  • Mahu rasa diterima dan tidak dinilai
  • Ingin didengari atau perasaan mereka didengari
  • Tidak mahu dipaksa / ingin bersendirian (kaunselor boleh bertanya / minta kebenaran klien untuk bercerita)

 


Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)