Salah satu faktor yang paling penting dalam kesihatan mental dan emosi adalah mempunyai sistem sokongan yang memahami kita dan boleh membantu kita ketika berhadapan dengan masalah. Sistem sokongan boleh memberi kita nasihat, membantu kita untuk belajar kemahiran baru, memastikan kita berada di landasan yang betul, dan membuatkan kita bertanggungjawab untuk melakukan apa yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkahwin lebih mampu untuk menghadapi dan menguruskan masalah kesihatan dengan lebih berkesan bersama-sama.

 

Wanita yang suaminya terlibat dalam isu-isu penjagaan kesihatannya,  seperti pemeriksaan khusus wanita, lebih cenderung untuk melakukan pemeriksaan dan kekal mengikut jadual yang konsisten. Sesetengah mengatakan bahawa kita harus mempunyai sekurang-kurangnya 5 sumber sokongan yang berbeza yang membolehkan kita beralih atau bertukar (mengikut keadaan). Walau bagaimana pun, kita bernasib baik kerana ada banyak outlet untuk kita mula membina sistem sokongan.

Jenis-jenis Sistem Sokongan:

Rakan dan Keluarga – Lebih ramai orang  yang menyokong anda ada dalam kehidupan anda lebih berkesan sistem sokongan anda . Siapa yang anda ada dalam kehidupan anda yang boleh dijadikan sokongan?  Ia seharusnya adalah orang yang mengenali anda dengan baik dan dapat menyedari apabila tingkah laku anda menjadi luar biasa atau tidak sihat. Mereka seharusnya orang-orang  yang positif dan memberi galakan serta membantu anda supaya menjadi  lebih optimistik, berkeyakinan dan kuat.

Terapi / Kaunseling – Ada kalanya kawan-kawan dan keluarga sahaja tidak cukup untuk membantu  kita melalui masa-masa  yang sukar. Ada masanya kawan-kawan dan keluarga mempunyai terlalu banyak  hal mereka sendiri untuk berurusan dengan masalah kita. Pada masa-masa inilah kita mungkin memerlukan sokongan profesional. Terapis dan kaunselor boleh menjadi sokongan yang baik untuk membantu anda melalui kesukaran yang dihadapi.

Kumpulan sokongan– Terdapat kumpulan sokongan untuk semua kesukaran yang kita lalui dalam kehidupan ini. Kumpulan sokongan menawarkan interaksi dengan orang-orang yang mungkin mempunyai pengalaman yang sama dan dapat memahami apa yang sedang kita melalui. Kita boleh mempelajari kemahiran baru untuk menangani dan berhubung dengan orang-orang dalam persekitaran kita yang mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan permasalahan kita

Kerohanian dan Keagamaan – Mempunyai hubungan rohani atau pegangan agama memberikan sumber sokongan yang sangat bermakna apabila kita sedang bergelut dengan kesukaran. Kerohanian boleh memberikan harapan dan tujuan / makna dalam hidup dan membantu kita mencari kekuatan dan ketahanan. Kita juga boleh berhubung dengan komuniti yang lain yang mempunyai kepercayaan yang sama.

Aktiviti Masa Lapang dan Minat - Hobi dan aktiviti yang kita nikmati bukan sahaja memberikan kita  keseronokan dan relaksasi tetapi boleh membantu menghubungkan kita dengan orang lain. Ia membolehkan kita rehat seketika dari masalah dan memberi kita peluang untuk merasa OK (feel good) tentang diri kita sendiri.

Sebaiknya kita pertimbangkan apa keperluan kita dan bagaimana kesemua sistem sokongan yang berbeza ini boleh membantu kita untuk mendapatkan keperluan yang kita ingini. Sama ada menghabiskan masa dengan kawan-kawan, terlibat dalam aktiviti masa lapang, atau kumpulan sokongan, kesemua sokongan sosial ini memberi kita peluang untuk berhubung dengan orang lain dan membina hubungan.


Rumusan

Aspek penjagaan diri, sokongan dan kesejahteraan  amat penting kepada professional yang terlibat dalam profesion membantu (seperti kaunselor dan pekerja sosial).  Ini disebabkan bekerja dengan individu / klien yang mengalami krisis akibat peristiwa traumatik adalah mencabar dan berpotensi memberi impak emosional dan psikologikal (seperti trauma vikarius, compassion fatigue, tekanan trauma sekunder dan burnout). Impak ini tidak menandakan kaunselor itu  lemah kerana mengalami emosi yang kuat atau ditenggelami oleh cerita klien atau mengalami simptom-simptom yang sama seperti  dialami oleh klien. Sebaliknya, yang lebih penting adalah kaunselor menyedari dan mengetahui kecenderungan untuk dipengaruhi disebabkan sifat pekerjaan itu sendiri. Oleh itu, adalah penting kaunselor memahami impak mengambil berat (caring) oleh kaunselor terhadap klien, membina kesedaran tentang trauma vikarius, compassion fatigue, tekanan trauma sekunder dan burnout serta mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan potensi impak yang negatif terhadap diri, profesion dan klien. Dalam konteks sistem sokongan pula, kita harus mencuba untuk mencari sokongan yang menawarkan kebaikan (positivity) yang lebih besar. Sistem sokongan yang sihat tidak seharusnya membawa kita kepada  rasa kebencian, kemarahan, dan rasa malu, tetapi akan meningkatkan tahap kegembiraan, hala tuju, dan kepuasan.

 


Seterusnya:

STRATEGI PENJAGAAN DIRI PERIBADI

STRATEGI PENJAGAAN DIRI PROFESIONAL

TV, CF & TTS

BURNOUT

 

Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)