Penjagaan diri boleh difahami sebagai keupayaan individu untuk menangani isu-isu peribadi dan pekerjaan dengan cara yang proaktif, meningkatkan kesihatan. Apa-apa perbincangan mengenai penjagaan diri, bagaimanapun, tidak akan lengkap tanpa mengetahui beberapa kemahiran sebenar dan strategi untuk penyelenggaraan penjagaan diri.

Dalam konteks penjagaan diri peribadi, mengenal pasti sumber-sumber  tekanan dalam hidup kita adalah langkah pertama ke arah perubahan.  Kesedaran diri  diperlukan jika kita ingin melakukan penjagaan diri untuk diri sendiri. Adakalanya seseorang  boleh merasakan dirinya tertekan tetapi tidak berupaya mengenal pasti punca tekanan. Dalam keadaan begini adalah bijak untuk mendapatkan bantuan luar. Dalam kes yang ekstrim, seseorang tidak mengenali simptom-simptom tekanan dan hanya berfikir beginilah cara kehidupan. Keadaan ini juga mungkin memerlukan usaha dari sumber luar untuk bantuan. Apabila punca tekanan dikenalpasti, individu boleh mula menyelesaikan masalah dan membangunkan strategi untuk menanganinya. Berikut adalah beberapa strategi yang berbeza untuk menangani tekanan (Samsiah et al., 2016).

1.  Kaunseling

Sebagai kaunselor, penggunaan kaunseling dan terapi  sebagai  salah satu strategi  menangani tekanan untuk penjagaan diri adalah merupakan sumber yang berharga untuk diri kita sendiri. Kaunseling dilihat sebagai  arena yang sesuai untuk menangani pelbagai situasi tekanan yang telah dibincangkan setakat ini. Bukan sahaja ia menyediakan satu  forum untuk menjelaskan isu-isu peribadi, ia juga boleh menggalakkan proses perubahan dan pembinaan kemahiran yang sering diperlukan dalam menangani tekanan. Sebagai pengguna yang berpendidikan dalam perkhidmatan kesihatan mental, kita mempunyai  kelebihan untuk membuat keputusan mengenai jenis intervensi yang boleh membantu kita dalam keadaan tertentu.  Namun,  kita perlu tahu bilakah kita memerlukan bantuan dan kita mesti bersedia untuk mendapatkannya.

2.  Jurnal / Diari

Bagi kebanyakan orang, peluang untuk merefleksi dan merenung  kehidupan sendiri serta cabarannya adalah jarang dapat dilakukan.  Namun sebagai manusia kita tidak dapat mengelak dari terperangkap dengan berbagai  jangkaan dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian. Jurnal menyediakan kita  peluang untuk melakukan refleksi dan renungan tentang kehidupan serta cabaran dalam kehidupan kita. Mereka yang gemar menggunakan atau mencatat dalam jurnal  sering mendapati  bagaimana jurnal dapat memberi kebebasan kepada mereka untuk meletakkan fikiran dan perasaan mereka  di atas kertas. Mereka yang biasa dengan penggunaan jurnal juga melaporkan sering membuat perancangan bagi menangani isu-isu yang mungkin tidak dipertimbangkan tanpa proses journal ini. Oleh itu, penggunaan jurnal dapat memberikan  masa dan ruang untuk ‘mengumpul’ fikiran mereka dan membuat perancangan untuk perubahan. Kesemua fungsi-fungsi ini, iaitu "masa peribadi", "refleksi", dan "perancangan" adalah unsur-unsur penjagaan diri. Jurnal adalah salah satu cara untuk  kita meluangkan masa untuk keperluan-keperluan peribadi yang penting ini.

3.  Kemahiran Daya Tindak

Sebagai kaunselor, kita boleh mendapat manfaat dengan mempelajari kemahiran daya tindak yang diajar kepada mereka (klien) yang mendapatkan perkhidmatan kita.   Teknik tingkah laku adalah cara yang berkesan untuk menangani tekanan. Kemahiran relaksasi  seperti menarik nafas panjang, imaginasi terarah, dan regangan boleh memberi  keajaiban dalam mengurangkan dan memulihkan tekanan. Latihan asertif juga boleh memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai kesukaran untuk meluangkan masa untuk diri sendiri. Mengenal pasti  kelemahan untuk memperbaiki diri dan bertindak untuk mengubah kelemahan  peribadi kita boleh memberikan keajaiban apabila kita berhadapan  dengan keadaan tertekan. Dengan sentiasa mengakui keperluan manusia untuk terus belajar dan membangun, kita boleh terus mengemaskini kemahiran kita sendiri. Selain manfaat peribadi, dengan mengasah kemampuan peribadi kita, kita menjadi lebih mahir membantu orang lain untuk memperbaiki mereka.

4.  Keseimbangan yang Sihat

Banyak yang telah diperkatakan  mengenai manfaat kehidupan yang seimbang. Keseimbangan yang  sihat ini memerlukan kita untuk mempertimbangkan diet, senaman, kehidupan bekerja, kehidupan keluarga, masa lapang, dan banyak lagi. Mereka yang meluangkan  masa untuk latihan dan keluarga, sebagai contoh, adalah lebih berkeupayaan berhadapan dengan tekanan yang merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian. Mencari masa untuk mengimbangi kehidupan seseorang adalah penting untuk penjagaan diri sendiri. Keseimbangan memberi  makna yang berbeza untuk  setiap orang. Walau bagaimanapun, istilah "keseimbangan" adalah kunci kepada kesejahteraan diri. Tekanan boleh meningkat secara mendadak apabila seseorang  mula memberikan tumpuan semata-mata kepada satu atau dua perkara dalam kehidupan mereka. Oleh itu ia adalah penting untuk kerap menilai pilihan hidup seseorang untuk menentukan sama ada perubahan perlu dibuat.

5.  Timeout

Adakalanya adalah perlu untuk ‘keluar’ dari segala-galanya di sekeliling kita untuk jangkamasa tertentu. Keadaan begini dikenali sebagai ‘timeout’  di mana ia boleh mengambil   masa seringkas lima minit atau sepanjang hujung minggu  atau bercuti yang panjang. Timeout  memberikan kita peluang untuk memulihkan diri kita, membersihkan fikiran kita, dan pulang semula dengan perasaan yang tenang dan fokus. Menyedari atau mengenalpasti  apabila keadaan menjadi terlalu tertekan adalah satu komponen penting dalam timeout. Tambahan pula, mengenal pasti apa yang perlu dicapai dalam tempoh timeout yang diberikan juga penting. Adakalanya timeout yang diperlukan hanya beberapa minit untuk berjalan-jalan dan bertenang. Pada masa yang lain pula  boleh berfungsi sebagai rehat yang membolehkan kita untuk menlihat di mana kita berada dalam kehidupan kita dan di mana kita mahu menuju. Selain itu, timeout juga sentiasa digunakan sebagai rehat daripada apa yang sedang berlaku. Sekiranya digunakan dengan bijak, timeout boleh menjadi satu pengurangan tekanan (stress reducer) yang berkesan.

 


 

Seterusnya:

STRATEGI PENJAGAAN DIRI PROFESIONAL

TV, CF & TTS

SISTEM SOKONGAN

BURNOUT

PENJAGAAN DIRI

 

Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)