Trauma Vikarius (TV), Compassion Fatigue (CF) dan Tekanan Traumatik Sekunder (TTS)

Penjagaan diri peribadi dan profesional amat penting kepada professional yang terlibat dalam profesion membantu (seperti kaunselor dan pekerja sosial).

Dalam konteks ini, aspek kesedaran diri sangat ditekankan kerana ianya merupakan titik tolak untuk kaunselor bertindak dan seterusnya  membantu meminimumkan risiko dan impak negatif ke atas diri kaunselor. 

 

Ini disebabkan bekerja dengan individu/ klien yang mengalami krisis akibat peristiwa traumatik adalah mencabar dan berpotensi memberi impak emosional dan psikologikal kepada kaunselor.  Hal ini telah banyak diterokai dalam kurikulum pendidikan kerja sosial dan agensi-agensi latihan  (Cunningham, 2004; Courtois, 2002; Shackelford, 2006). Figley (1995), menggambarkan keadaan ini sebagai ‘cost of caring’ terhadap kesakitan emosional klien yang perlu disedari oleh kaunselor.

Memahami impak mengambil berat (caring) oleh kaunselor terhadap klien, serta mengambil langkah untuk mengawal dan menangani impak ini terhadap pekerjaan adalah sangat penting. Impak atau risiko emosional dan psikologikal  ke atas kaunselor yang berhadapan dengan kes-kes krisis dantrauma boleh dikonseptualisasikan sebagai berlaku dalam 2 bentuk berbeza iaitu:

1.  Tekanan berkaitan trauma (trauma-related stress)

Trauma vikarius (Vicarious trauma), Tekanan Traumatik Sekunder (Secondary Traumatic Stress) dan Compassion Fatigue adalah keadaan yang dikaitkan khusus dengan kerja- kerja  melibatkan populasi trauma.

2.  Kelesuan dan keletihan professional (professional burnout)

Fenomena umum yang boleh berlaku dalam mana-mana seting perkhidmatan sosial.

 


Trauma Vikarius (Vicarious Traumatization)

Terma Trauma Vikarius (TV) atau Vicarious Traumatization pertama kali digunakan oleh McCann dan  Pearlman pada tahun  1990 dan didefinisikan sebagai  “transformasi pengalaman dalaman terapis atau penolong (kaunselor) hasil dari penglibatan yang empatik dengan klien dan cerita trauma klien”. Menurut Figley (1995), terma TV kadangkala dikenali sebagai Compassion Fatigue, adalah terma terkini yang menggambarkan fenomena yang dikaitkan dengan “cost of caring” untuk orang lain. Selepas itu, berbagai versi definisi trauma vikarius muncul daripada beberapa pengkaji terkenal dalam bidang ini seperti Saakvitne dan Pearlman (1996),  yang mendefinisikan TV sebagai “kesan transformatif  yang kumulatif  ke atas kaunselor yang bekerja dengan individu yang terselamat dari pengalaman kehidupan yang traumatik.  Menurut kedua-dua tokoh ini   “When we open our hearts to hear someone’s story of devastation or betrayal, our cherished beliefs are challenged and we are changed” (1996. p. 25). Pearlman (1999, p.52) kemudiannya tampil dengan definisi yang lebih khusus tentang TV yang dilihat sebagai “satu proses perubahan (kognitif) hasil daripada penglibatan yang empatetik  (kronik) dengan mangsa trauma”. Contoh perubahan  kognitif  apabila seseorang mengalami TV termasuklah pengubahsuaian tanggapan terhadap diri (sense of self), perubahan dalam pandangan hidup (world views) tentang isu utama seperti keselamatan, kepercayaan dan kawalan, dan perubahan dalam kepercayaan spiritual (Pearlman, 1998;  Pearlman & McCann, 1995; Pearlman & Saakvitne, 1995).

Pearlman dan McKay (2008), melihat TV sebagai satu proses perubahan yang berlaku kerana kaunselor mengambil berat atau prihatin dengan mereka yang telah mengalami kesukaran / kesakitan, dan komited  atau bertanggungjawab untuk membantu mereka.  Mereka menganggap komponen utama TV adalah perubahan terhadap spiritualiti kaunselor, yang mana memberi impak yang mendalam. Kaunselor yang bekerja dengan mangsa trauma mengalami TV disebabkan oleh kerja yang mereka lakukan. TV adalah sisa emosi dari pendedahan klien  yang terkesan kepada  kaunselor apabila mereka mendengar cerita trauma klien dan menjadi saksi kepada kesakitan, ketakutan, dan keganasan yang  telah dialami oleh mangsa trauma. Kaunselor yang mengalami TV berada dalam keadaan tertekan dan taksub dengan cerita atau pengalaman trauma yang digambarkan oleh kliennya.

Tekanan dan ketaksuban ini mungkin dialami oleh kaunselor dalam keadaan yang berikut:

  • Mengelak bercakap atau berfikir tentang apa yang dicerita atau dikongsi oleh klien yang mengalami trauma (seolah-olah kaunselor mengalami kekebasan (numb) dengan penceritaan klien)
  • Berada dalam keadaan terangsang yang berterusan

 

Oleh itu, kaunselor perlu sedar dengan tanda-tanda dan simptom-simptom TV dan potensi kesan-kesan emosi yang mungkin akan dialaminya apabila bekerja dengan klien yang telah mengalami peristiwa traumatik (www.counseling.org) .

Tanda-tanda dan simptom-simptom kepada kaunselor:

  • Mengalami kesukaran bercakap tentang perasaan
  • Tiba-tiba marah / cepat marah
  • Mudah terkejut / takut / resah
  • Terlalu banyak atau kurang makan
  • Kesukaran untuk memulakan tidur / tidur nyenyak
  • Tidak cukup tidur kerana klien
  • Risau tidak membuat yang cukup terbaik untuk klien
  • Bermimpi tentang klien / pengalaman traumatik klien
  • Kurang gembira dengan perkara yang memberi kegembiraan sebelum ini
  • Rasa terperangkap dengan kerja sebagai kaunselor (kaunselor krisis)
  • Kurang rasa kepuasan dan pencapaian peribadi
  • Berurusan dengan pemikiran intrusif  klien terutamanya yang mempunyai sejarah trauma yang tenat
  • Rasa tiada harapan / putus asa berkaitan kerja / klien
  • Menyalahkan orang lain

 

Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)