Sejak akhir-akhir ini, masyarakat  di seluruh dunia sering dikejutkan dengan berita-berita dan kejadian  yang menggemparkan seperti malapetaka alam, peperangan, krisis ekonomi dan politik, kemalangan ngeri, wabak penyakit, dan pelbagai peristiwa kehidupan signifikan yang sudah pasti meninggalkan kesan yang mendalam dan pengalaman yang traumatik kepada kebanyakan mangsa. Di Malaysia umpamanya banyak kejadian atau peristiwa yang menggemparkan rakyat Malaysia seperti pencerobohan dan penculikan di Lahad Datu Sabah, kes penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, pergolakan parti-parti politik dan peristiwa yang berlaku di luar negara seperti pencerobohan di Gaza Palestin turut memberikan kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya mangsa (yang terselamat) dan keluarga mangsa.

Terkini, peristiwa kehilangan pesawat penerbangan Malaysia ke China iaitu MH370 menggegarkan masyarakat Malaysia dan seluruh dunia.  Misteri kehilangan MH370 ini masih menghantui rakyat Malaysia terutamanya keluarga mangsa yang terlibat. Proses pencarian pesawat MH370 ini masih berterusan dan terkini rakyat Malaysia dan seluruh dunia dikejutkan pula dengan penembakan pesawat MH17 yang jatuh di Ukraine semasa penerbangan ke Amsterdam. Kesemua peristiwa-peristiwa kritikal ini meninggalkan kesan psikologikal yang mendalam dan parut yang mungkin akan kekal kepada sesetengah individu atau mangsa. Mangsa-mangsa trauma yang terlibat pula sekiranya tidak diberikan bantuan yang segera dari segi fizikal mahupun psikologikal akan memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) yang serius dan ada pula yang mengambil tindakan membunuh diri kerana langsung tidak nampak jalan penyelesaian. Oleh itu, peranan para kaunselor, pekerja khidmat manusia atau mereka yang berada dalam profesyen menolong amatlah kritikal pada waktu-waktu kecemasan begini.

Sebaiknya,  bantuan  segera  yang  diberikan  mestilah  bersesuaian  dan bertepatan dengan keperluan mangsa. Bantuan dari segi fizikal seperti makanan dan perlindungan boleh menentukan hidup dan mati sesetengah mangsa trauma. Namun, bantuan dari segi psikologikal juga sama pentingnya kerana ia boleh meminimakan risiko mangsa daripada bertindak di luar kawalan dan jangkaan, serta membimbing mangsa menyesuaikan diri beberapa jam atau hari (jangkamasa pendek) selepas kejadian dan seterusnya membantu mangsa membina kehidupan lebih bermakna (jangkamasa panjang). Menurut Riethmayer (2002), pengalaman traumatik membuat seseorang individu (mangsa) melihat dunia sebagai tidak lagi selamat, boleh diramal, baik dan dipercayai. Trauma selalunya meretakkan dunia mangsa, apa yang selalunya dianggap normal sebelum ini, kini sudah tidak wujud lagi dan lebih penting lagi dunia yang wujud  sebelum kejadian trauma tidak mungkin boleh diperolehi lagi. Oleh itu, kaunseling trauma adalah proses meneroka dan menyelesaikan kehilangan (….of working through the LOSS) akan kehidupan tertentu yang pernah dilalui oleh mangsa suatu ketika dahulu.  Justeru itu, satu daripada tugasan utama kaunseling trauma adalah untuk membantu klien mencari definisi ‘normal’ yang baharu. Kehidupan perlu didefinisikan semula, bukan seperti definisi sebelum ini tetapi dengan apa yang wujud/ ada kini. Sehubungan itu, para penolong professional seperti kaunselor perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan teknik / strategi mengendalikan kes-kes trauma dan krisis kerana perkhidmatan yang diberikan, samada berkesan atau kurang berkesan, akan memberikan impak   yang   besar    kepada   kesejahteraan   kehidupan   mangsa   trauma. 

Namun,   untuk memberikan perkhidmatan kaunseling yang berkesan seorang kaunselor perlulah kompeten dalam mengenalpasti, mendiagnosis dan merawat klien. Sekiranya kaunselor tidak mempunyai kepakaran dalam sesuatu isu yang dibawa oleh klien maka kaunselor perlulah merujuk klien kepada yang  lebih pakar dalam isu yang menimbulkan kesulitan kepada klien. Dalam konteks kesihatan mental, pengesanan segera amat penting supaya klien boleh dibantu dan dirawat dengan segera. Justeru itu Modul Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM) direka khusus untuk kaunselor dan pembantu professional  kesihatan mental dan trauma  meningkatkan kecekapan amalan kaunseling trauma dan kesihatan mental. Latihan ini bertujuan untuk memberikan  peserta kefahaman tentang  apa itu kaunseling trauma, kemahiran yang diperlukan dan amalan kaunseling trauma yang terbaik.  Di akhir latihan, peserta akan dapat meningkatkan  pengetahuan, kemahiran dan mutu amalan kaunseling kesihatan mental dan trauma. Fokus modul latihan KTKM ini adalah terhadap kaunseling secara individu kepada golongan remaja dan dewasa yang pernah melalui pengalaman trauma serta menunjukkan simptom-simptom trauma di tahap sederhana. 

 


 

Seterusnya:

TRAUMA

PERISTIWA KEHIDUPAN

RESPON TERHADAP TRAUMA

SIMPTON TRAUMA

KESAN TRAUMA

 

Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)