Setiap dari kita mempunyai pengalaman yang berbeza sepanjang kehidupan kita – kita bernasib baik dan malang, menyesuaikan diri kita terhadap perubahan persekitaran, belajar dan berkembang. Kebanyakan situasi dalam kehidupan kita diiringi oleh ketidakpastian dan tekanan, dan beberapa peristiwa kehidupan boleh jadi sangat tertekan. Setiap dari kita mempunyai sumber, kekuatan, kebolehan dan kemahiran untuk berhadapan dengan situasi dan cabaran yang sukar. Ini adalah faktor-faktor pelindung yang menggalakkan ketahanan dan resilien, dan penting untuk kita menangani apabila berhadapan dengan situasi yang mencabar.

Selain dari faktor-faktor lain, stres dan ketegangan yang berpunca dari situasi yang sukar boleh dilihat sebagai faktor berisiko.  Kunci kepada kesejahteraan mental dan emosi adalah mengekalkan keseimbangan dalam kehidupan seseorang supaya faktor pelindung melebihi faktor berisiko.  Selain ciri-ciri peristiwa kehidupan yang menyebabkan individu tertekan, cara seseorang mempersepsikan peristiwa kehidupan itu juga sangat mempengaruhi tekanan yang dilalui oleh seseorang individu. Seseorang individu mungkin mempersepsikan   situasi yang sama berbeza disebabkan sejarah pengalaman lampau yang berbeza, personaliti, tahap sokongan sosial dan situasi kehidupan  pada masa kejadian.

Peristiwa kehidupan yang berbeza boleh menyebabkan tahap tekanan (stress) yang berbeza. Peristiwa kehidupan yang signifikan adalah peristiwa yang menganggu perjalanan kehidupan seharian kita yang normal, dan menyebabkan ketidakseimbangan antara diri kita dan persekitaran kita (contohnya dunia sosial dan fizikal). Peristiwa ini memaksa kita berhadapan dengan perubahan dan menangani dengan mempelajari cara baharu untuk bertindak, berperasaan dan berfikir. Peristiwa tersebut mungkin dipersepsikan sebagai menyeronokkkan atau tidak menyeronokkan, tetapi ia sering membawa perubahan dalam kehidupan kita. Sesetengah peristiwa kehidupan sememangnya menyakitkan atau memberi tekanan, seperti kelahiran anak, peralihan dari alam remaja ke dewasa, perubahan dalam pekerjaan, perkahwinan atau perceraian, mengalami penyakit serius secara tiba-tiba, perubahan persekitaran atau kehilangan orang disayangi. Peristiwa-peristiwa ini selalunya mengubah rutin seharian yang normal dan memerlukan kita menyesuaikan diri dan membina strategi menangani yang baharu.

Peristiwa traumatik adalah peristiwa-peristiwa yang ekstrim yang di luar alam pengalaman manusia yang lazim, mengancam nyawa atau integriti peribadi, dan menyebabkan perasaan takut yang kuat, mengerikan atau tidak berdaya. Peristiwa traumatik termasuklah pengalaman-pengalaman yang sebenar yang dialami yang mengancam dan membawa kemudaratan yang serius kepada tubuh badan atau kemungkinan boleh membawa kematian.  Ia juga merupakan peristiwa-peristiwa yang disaksikan oleh seseorang, atau mendengar seseorang yang disayangi mengalami peristiwa tersebut. Ini adalah antara peristiwa traumatik yang dikaitkan simptom-simptom tekanan yang tenat atau serius. Peristiwa traumatik atau kritikal memaksa kita untuk menghadapi perubahan yang lebih besar dari peristiwa-peristiwa kehidupan yang signifikan.

Krisis peribadi adalah pengalaman yang dirasai seseorang – proses dalaman menyoal atau tekanan - yang timbul daripada pengalaman dari peristiwa hidup yang signifikan atau peristiwa traumatik. Seseorang dalam krisis peribadi mengalami ketidakseimbangan antara sumber-sumber yang ada padanya untuk menangani dan tekanan-tekanan yang dihadapinya, juga soalan-soalan tentang kehidupannya. Mereka mungkin bertanya pada diri mereka, “Apakah makna kehidupan saya”? “Bagaimana saya hendak meneruskan kehidupan”? Bagaimana keluarga saya hendak meneruskan kehidupan, kami telah kehilangan semua? Apakah pilihan terbaik untuk saya buat? Apakah nilai yang menjadi panduan / arah dalam hidup saya? Setiap orang memberi respon yang berbeza terhadap peristiwa kehidupan yang signifikan atau traumatik, oleh itu magnitud/ tahap krisis yang dirasai oleh seseorang individu terhadap peristiwa tertentu adalah pelbagai dan berbeza tahap ketenatannya. Adalah penting peserta memahami bahawa setiap klien adalah berbeza dalam mempersepsikan ketenatan atau tekanan terhadap peristiwa traumatik yang dialaminya. Tidak ada dua orang individu boleh memberikan respon yang sama dan kebanyakan peristiwa sahaja peristiwa dalam kehidupan mempunyai  potensi membawa kepada krisis peribadi. Krisis terjadi apabila seseorang telah mencapai batasan keupayaan dan sumber yang ada pada dirinya untuk menangani atau berhadapan dengan situasi pada ketika itu

 


 

Seterusnya:

RESPON TERHADAP TRAUMA

KESAN TRAUMA

SIMPTON TRAUMA

TRAUMA

Web Kaunseling Trauma dan Kesihatan Mental (KTKM)